Ahli perniagaan Wan Sulaiman Wan Ismail bercakap pada sidang akhbar mengenai dakwaan yang dibuat ke atasnya oleh Jabatan Agama Islam Perak di Pusat Komunikasi Rakyat (Komas) di Petaling Jaya, hari ini. Beliau dituduh mempertikaikan hadis, menidakkan ucapan syahadah yang diajarkan secara lengkap. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Arifin

Hanya kerana mahu mendalami ajaran Islam, seorang peniaga, Wan Sulaiman Wan Ismail dari Ipoh, Perak didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan jenayah oleh pihak berkuasa agama sehingga menjejaskan kehidupannya.

Wan Sulaiman berkata, beliau membuat beberapa kajian berkenaan agama Islam, antaranya berkenaan amalan ucapan kalimah syahadah yang secara peribadinya mendapati tidak sama dengan ajaran al-Quran.

Katanya, sejak 2013 beliau cuba mendapatkan penjelasan dan merujuk kepada pakar agama termasuk pegawai di pejabat mufti Perak, jabatan agama Islam negeri, dan masjid.

“Disebabkan itu mereka tidak senang dan mula memberi tekanan supaya membuang pemikiran dan kajian peribadi saya, dan meminta supaya saya akur membuta tuli dengan pandangan mereka.

“Saya tak pernah mengatakan apa yang kita amalkan ini salah dan saya juga tak pernah kata apa yang saya faham itu betul.

“Tekanan ini akhirnya membentuk tuduhan yang dibuat ke atas saya,” katanya pada sidang media di Pusat Komunikasi Rakyat (Komas) di Petaling Jaya, hari ini.

Katanya, disebabkan dakwaan itu beliau dipulaukan keluarga termasuk isteri sendiri.

“Perniagaan saya merudum sejak 2014 atas perbuatan orang Islam dan ustaz yang asalnya mereka ini kawan saya.

“Mereka mula mempengaruhi masyarakat supaya memboikot perniagaan saya. Awal bulan ini saya terpaksa menjual satu-satunya rumah saya di Ipoh dan dimalukan kepada awam.

“Ini tidak adil. Saya percaya ketidakadilan ini adalah bukan Islam,” katanya.

Wan Sulaiman pada Januari lalu didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh atas tuduhan menyimpan dokumen berbentuk tulisan di dalam rumah dan mempamerkannya di dinding rumah dengan maksud memberi kefahaman, mempersendakan hadis Nabi Muhammad.

Beliau dituduh mempertikaikan hadis, menidakkan ucapan syahadah yang diajarkan secara lengkap dengan hanya berbunyi “La ilaha illa hu” sahaja.

Wan Sulaiman, 56, juga didakwa menterjemah perkataan dalam al-Quran solat fajar adalah solat Zuhur dan solat wusto sebagai solat Asar secara akal tanpa merujuk kepada hadis Nabi.

Beliau disabitkan kesalahan di bawah seksyen 15 Enakmen Jenayah Syariah 1992 yang boleh membawa hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan penjara maksimum tiga tahun.

Bekas jurutera itu bagaimanapun mempertahankan kajiannya mengenai Islam dibuat sendiri tanpa pernah berkongsi atau menyebarkannya kepada awam termasuk keluarganya sendiri.

Katanya, jabatan agama semasa menyerbu rumahnya pada Januari lalu mengambil tulisan peribadinya, memeriksa telefon bimbit dan komputer.

Nota kajian dan pembelajarannya yang ditampal di dinding rumah turut dirampas dan ditanggalkan atas alasan dipamerkan di ruangan awam.

“Saya merasakan hak saya untuk berfikir dirampas secara kasar.

“Saya seorang Islam biasa yang sayangkan Islam. Usaha saya hanya untuk mendalami Islam supaya lebih dekat dengan agama namun ini ditafsirkan sebagai jenayah oleh pihak berkuasa agama dan didakwa hanya kerana berfikiran berbeza,” katanya.

Beliau turut mengakui pernah berjumpa dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria untuk merujuk tentang Islam kerana berjiran yang hanya berjarak 800 meter antara rumah satu sama lain.

Katanya, menjadi kebiasaannya sejak 15 tahun merujuk terus ke jabatan agama jika ada sebarang persoalan mengenai Islam tetapi tidak pernah dijadikan isu.

Mengulas dakwaan Harussani dalam sebuah portal yang mengatakan beliau mengajar ajaran “sesat” dan penipu, Wan Sulaiman menafikannya dan menganggap tuduhan itu sebagai fitnah.

“Saya rasa dia silap orang. Tuduhan mufti Perak berlainan dengan kertas pendakwaan yang kami baca. Tuduhan ini kalau dibenarkan adalah fitnah,” katanya.

Peguam Mansor Saat ketika mengulas berkata, Wan Sulaiman berhak membincangkan ajaran Islam dan dibenarkan menyuarakan pandangannya mengikut Perlembagaan persekutuan, dan tindakan mendakwa anak guamnya di mahkamah merupakan satu tekanan oleh pihak berkuasa agama.

Pendengaran kes itu katanya ditetapkan pada 2 Julai depan, dan akan meneliti dokumen pendakwaan sebelum memikirkan untuk mencabarnya di mahkamah sivil, melalui bantuan Freedom Fund Malaysia. – TMI

[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share