SUNGAI BULOH : Nurul Izzah Anwar berkata keluarganya tidak berhenti berharap supaya bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh.

Naib Presiden PKR itu berkata, mereka sekeluarga dan pemimpin pembangkang lain akan terus berusaha untuk membebaskan bapanya yang dipenjara sebagai tahanan politik.

Katanya, Anwar dipenjara kerana memimpin Pakatan Rakyat yang memenangi 52 peratus daripada undi popular di Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Beliau dipenjarakan kerana mengajak rakyat untuk bersuara menentang kezaliman, memimpin gerakan reformasi, ketelusan, keadilan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan negara.

“Beliau dipenjarakan kerana berani menyatukan rakyat untuk menuntut kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun. Inilah nilai-nilai demokratik yang diperjuangkan oleh Anwar Ibrahim dan kami sebagai keluarga beliau meneruskan kesinambungan perjuangan tersebut,” tegasnya.

Dia berkata demikian ketika menyertai ahli keluarganya serta kira-kira 50 pemimpin dan penyokong pembangkang menyambut Ulang Tahun Kelahiran Anwar ke-68 di pintu masuk Penjara Sungai Buloh pada Isnin.

Tiga kek dan sebuah poskad besar yang ditandatangani kepimpinan PKR dan orang ramai menjadi simbolik bagi meraikan majlis itu.

Mereka turut menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Jadi Anwar Ibrahim’ dan melaungkan ‘Reformasi’ serta ‘Bebaskan Anwar’.

Pada 10 Februari lalu, Anwar dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun kerana bersalah meliwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Ahli keluarga dan pembangkang tidak menerima keputusan itu dan menganggap Anwar sebagai tahanan politik kerana dianggap ancaman kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). – FMT
[signoff1]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share